NOVEMBER 2025

Pencapaian BCM, Martabatkan Sarawak Di Mata Dunia


KUCHING, 5 November 2025 -  Muzium Budaya Sarawak (BCM) mencipta sejarah apabila menduduki carta teratas dalam 'Museum World Ranking' melalui undian atas talian yang telah mengatasi muzium tersohor Louvre di Paris, Perancis dan sekali gus menjulang nama Sarawak di mata dunia.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, keistimewaan muzium itu terletak pada pendekatannya yang interaktif dan berasaskan teknologi moden, menjadikannya berbeza daripada muzium konvensional lain di seluruh dunia.

"Alhamdulillah, muzium ini telah dinobatkan sebagai Muzium Global pertama di dunia dan ia diharapkan menjadi tarikan kepada masyarakat dunia untuk datang melawat ke Sarawak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Hotel Legacy Hill di sini pada Rabu.

Menurut beliau, hasil perancangan itu kini menciptakan kejayaan apabila muzium itu berjaya mengatasi muzium terkemuka dunia seperti Louvre di Paris, satu pencapaian yang amat membanggakan bagi Sarawak dan Malaysia secara keseluruhan.

“Sejak awal lagi, kita mahu MBB tampil dengan konsep baharu — bukan sekadar tempat pameran, tetapi pengalaman digital dan pembelajaran berasaskan kecerdasan buatan (AI).

“Inilah yang menjadikannya unik dan mampu menarik minat pengunjung global,” jelas beliau lagi. 

Menurutnya, hasrat awal adalah untuk membangunkan sebuah muzium interaktif yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital. 

Pencapaian ini bukan sahaja memperkukuh kedudukan MBB sebagai mercu tanda pelancongan utama, tetapi juga mencerminkan kejayaan Sarawak dalam memadukan warisan budaya dengan kemajuan teknologi untuk menjana daya tarikan global.

Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Snowdan Lawan, Pengarah Urusan Hotel Legacy Hill Roger Tiang serta dif-dif kenamaan lain.